Sunday, July 27, 2008

Karangan

Pada masa cuti sekolah, saya menziarahi bandar di bawah tanah di daerah Cappadocia, di Turki. Ia adalah sebuah kawasan pendiaman yang dibina oleh manusia semenjak zaman sebelum Nabi Isa. Pelbagai peradaban menggunakan tempat ini sebagai kediaman mereka. Pada suatu masa dahulu, golongan Kristian mengunakan tempat ini sebagai tempat perlindungan daripada diseksa oleh orang Rom.

Terdapat banyak ciri kreativiti dan inovasi di dalam tempat ini. Yang utama ia mempunyai sistem ventilasi yang amat unik dan berkesan. Tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan kesegaran udara yang dialami apabila menjejak kaki di dalam tempat tersebut. Ia juga mempunyai sistem pertahanan yang sangat berkesan dan mengagumkan. Terowongnya dibina dengan begitu sempit supaya musuh mengalami kesusahan untuk menyerang mereka. Lubang besar dibina di lantai supaya musuh akan terjatuh ke dalamnya jika cuba menceroboh tempat tersebut. Terdapat juga lubang di mana panah boleh digunakan untuk membunuh musuh tersebut. Semua yang terdapat dalam tempat tersebut diperbuat daripada batu. Alat dapur juga diperbuat daripada batu yang digunakan dengan cara yang unik sekali. Terdapat juga tempat untuk melakukan aktiviti seharian seperti tidur, makan dan bermain. Perkara yang paling mengagumkan adalah kekuatan struktur bandar di bawah tanah ini yang masih berdiri kukuh hingga ke hari ini.

Ciptaan ini saya jadikan sebagai inspirasi untuk mencapai impian saya kerana ia menunjukkan bahawa sesuatu yang besar boleh dicapai daripada sesuatu yang kecil seperti batu. Dengan hanya menggunakan batu, sebuah tempat kediaman yang telah melindungi banyak peradaban telah dibina dan masih kekal kuat hingga ke hari ini.

No comments: